Sunday 5 June 2011 0 comments By: hang

Manusia Melayu


Salam pada sahabat-sahabatku yang setia, terima kasih kerana bersedia membaca  sedikit coretan hamba yang lemah ini untuk  menerobos ruang nafsu yang melebar sayap menutup kekuatan dan kebaikan yang menjadikan kita, yakni manusia Melayu mundur dari segi akhlak yang terpuji. Pertama kali dalam sejarah malaysia tercinta ini, kita menerima kenyataan makhluk yang bernama manusia hilang pertimbangan apabila tercetusnya kejadian buang bayi dari tingkat lima. Waima apapun bangsanya setiap diri yang hidupnya di Malaysia harus menerima kegagalan kita dalam membendung peristiwa buang bayi  ini dari terus berlaku.
                  Dahulu kita sudah dibacakan tentang kehidupan manusia yang tidak bersyukur dijadikan sebagai manusia. Malah menganggap manusia itu lebih hina dari binatang sehingga sanggup melakukan sesuatu yang tidak mampu diterima akal, iaitu kaum-kaum yang ditenggelamkan ke perut bumi. Bayangkanlah saudara-saudaraku mereka ini dilenyapkan Allah sehingga tiada satupun sisa waris yang ada. Apakah kita sanggup menerima azab tuhan ini di zaman kita atau di zaman anak-anak kita nanti. Pastinya tidak sanggup bukan. Namun apakah bukti yang menunjukkan ketidak sanggupan kita menerima azab ini.
Ketahuilah saudara-saudaraku, jika kita tidak berbuat apa-apa berkenaan hal kebejatan sosial ini bermakna kita menempah ajal. Bukan sahaja ajal kita, bukan juga ajal anak-anak kita, tapi yang tak termampu untuk dibayangkan ialah ajal “Manusia Melayu”. Sedikit hairan bukan dengan catatan saya ini. Bukan bangsa melayu yang saya fokuskan tetapi manusia melayu. Kerana hari ini tanyakan ibu-ibu dan bapa-bapa yang berbangsa melayu ini adakah benar mereka melahirkan anak untuk dijadikan manusia. Halwa telinga bangsa melayu mana yang suka mendengar inilah bangsa yang kamu cipta iaitu “b******g melayu”. Hingga jika dahulu biasa juga menegur perbuatan seseorang dengan panggilan “binatang”.
Benar, dan memang sangat benar, kalimah berjiwa “tidakkan melayu hilang didunia” itu ada dan akan tetap dipertahankan. Namun apa maknanya jika Melayu yang ada itu tidak lagi berjiwa seperti “Manusia Melayu” yang sangat berani dan gagah menjunjung perintah dalam mempertahankan maruah Agama, Bangsa dan Negara tercinta ini. Bersama-samalah dengan saya wahai saudara-saudaraku kita membentuk Manusia Melayu yang berjiwa Melayu tulen. Jadilah Manusia  Melayu yang  penuh kesopanan, penuh toleransi, penuh ilmu didada, penuh adab, tersangat erat silaturrahim, terarah jalannya, tersusun cakapnya, tersangat tinggi budi pekertinya. Hingga nanti mampu dijadikan contoh oleh manusia lainnya di bumi Malaysia ini.   
Tolonglah saya , dengan menolong diri kalian bersama mengubah tanggapan sinis tentang diri Manusia Melayu kini. Berfikirlah diluar kebiasaan kita yang manusia melayu ini tidak mampu berbuat apa-apa dengan bangsanya. Bersama-samalah kita memanusiakan bangsa melayu ini sehingga, benar-benar membawa fitrah manusia yang Allah ciptakan. Akal yang dibekalkan untuk manusia adalah untuk mengawal nafsu yang boleh jadi tidak bersifat manusia. Usahlah kita menunding  jari pada sesiapa. Kita adalah kita, bersatu hatilah kita membendungnya,  bersatu hatilah kita dalam memerangi Nafsu Serakah b******g melayu ini. Bangunkan mereka, sedarkan mereka yang mereka ini “Manusia”, ciptaan menakjubkan,  satu-satunya makhluk paling berkuasa dibumi. Kita yang diamanahkan, kitalah yang bertanggungjawab, Pastinya kita boleh, kerana kita adalah Manusia Melayu.